.

Wednesday, March 7, 2012

Hukum Syara` dan Hukum Wadh`ie

Posted by Ibnu `Alwi al-Syafi`e


HUKUM SYARA`

Definisi Hukum Syar`i :

"حُكْمُ شَرْعِيْ وَهُوَخِطَابُ اللهِ تَعَالَى الْمُتَعَلِّقُ بِأَفْعَالِ الْمُكَلَّفِيْنَ بِالطَّلَبِ أَوْ بِالإِبَاحَةِ أَوِ الْوَضْعِ لَهُمَا".
Maksudnya:

"Hukum syara` iaitu khitab/kalam Allah ta`ala yang berhubung dengan perbuatan sekalian mukallaf dengan tuntut (perintah Allah dan larangan-Nya) atau harus atau yang dihantarkan bagi keduanya (ertinya bagi tuntut atau harus dan masuk pada yang dituntut itu empat perkara)".

Hukum Syarak/Hukum Taklifi terbahagi kepada empat bahagian:

1.      Wajib. Syarak(undang-undang Allah) memaksa orang yang mukallaf melaksanakan kewajipan sebagai orang Islam. Contoh, solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat, mempelajari ilmu fardhu ain dan sebagainya. Sekiranya seseorang itu melaksanakan kewajipan ini kerana Allah, maka ia akan mendapat pahal dan sekiranya ia meninggalkan kewajipan tersebut, maka ia akan mendapat dosa dan seksa daripada Allah ta`ala. Peringatan!!! Sekiranya seseorang itu meninggalkan perkara yang wajib seperti solat, maka ia akan mendapat dosa tetapi sekiranya ia meninggalkan dan mengatakan solat tidak wajib, maka ia telah jatuh kufur dan sekiranya ia meninggal dunia, maka ia akan kekal di dalam api neraka buat selama-lamanya.

2.      Sunat. Syarak tidak memaksa seseorang itu melakukan perkara sunat tetapi sekiranya ia melakukan dengan  niat kerana Allah, maka ia akan mendapat pahala. Sekiranya dia tidak buat, maka dia tidak mendapat dosa dan tidak akan diseksa di dalam api neraka.

3.      Haram. Syarak memaksa seseorang yang mukallaf meninggalkan perbuatan yang haram(maksiat) seperti berzina, berjudi, minum arak, mendedahkan aurat dan sebagainya. Sekiranya seseorang itu melakukan perkara yang haram, maka ia akan mendapat dosa dan seksaan api neraka mengikut kehendak Allah ta`ala. Sekiranya dia mengatakan buat benda haram tidak berdosa dan dia menghalalkan perkara yang haram, maka ia telah jatuh kufur dan kekal di dalam neraka buat selama-lamanya sekiranya ia tidak bertaubat. Orang yang meninggalkan daripada melakukan perkara yang haram dengan niat kerana Allah ta`ala, maka ia akan mendapat pahala.

4.      Makruh. Melakukan perkara makruf tidak berdosa tetapi sekiranya seseorang itu meninggalkannya kerana Allah ta`ala, maka ia akan mendapat pahala.

Harus/Mubah. Iaitu perkara yang tidak diberi pahala atas melakukannya dan tiada diseksa atas meninggalkannya. Maka perbuatan harus iaitu perbuatan yang diberi pilihan kepada setiap mukallaf untuk melakukannya. Sekiranya perbuatan harus itu dilakukan kerana Allah, maka ia akan mendapat pahala dan meninggalkannya juga akan mendapat pahala. Perkara harus ini juga menjadi tangga bagi hukum-hukum di atas iaitu hukum yang empat, wajib, haram, sunat dan makruh.

v  Tujuan hukum Syarak/taklifi adalah untuk mendapat keredhaan Allah ta`ala.

Dan masuk pula pada hantar bagi keduanya lima perkara iaitu:

HUKUM WAD`I

Hukum Wad`i ialah hukum yang ditujukan, dan ia mempunyai lima bahagian:

1.      Syarat: Perkara yang wajib ada ia, pada mula dan akhir sesuatu perkara itu. Contoh: ada wudhuk, syarat bagi hendak sah solat.

2.      Sebab: Perkara yang menjadi sebab ada ia dahulu, baru terjadi sesuatu pekerjaan. Contoh: tergelincir matahari sebab bagi wajib sembahyang Zohor.

3.      Batal: Perbuatan yang tidak cukup rukun-rukun dan syarat-syarat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh syarak. Contoh: Mengerjakan sembahyang tanpa wudhuk, maka ia akan menjadikan sembahyang itu batal.

4.      Mani`: Sesuatu perkara yang menegah/menghalang seseorang itu melakukan perbuatan tersebut sekiranya perkara yang menegah itu ada. Contoh: ada haidh, maka ditegah/dilarang daripada melakukan solat.

5.      Sah: Cukup dengan rukun, syarat, sebab tenafi mani`, maka sesuatu amal ibadat akan menjadi sah. Contoh: mengerjakan solat dengan berwuduk beserta dengan aturan-aturannya yang tertentu dan dikerjakan dalam waktunya.

v  Tujuan hukum Wad`i adalah untuk mengesahkan hukum syara`/taklifi atau hendak mengesahkan ibadat setiap mukallaf

Contoh ayat yang berisi hukum syara` . Allah subhanahu wa`ta`ala berfirman:
وَأَقِيْمُوا الصَّلَاةَ وَءَاتُو الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِيْنَ
Maksudnya:
"Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk".

                                                                                                     (Surah al-Baqarah: 43)

0 comments:

Post a Comment

Akhtaru Sabili
Akhtarusabili

terus ke laman utama tanpa perlu klik