SIAPAKAH AHL AL-SUNNAH WA AL-JAMA`AH???
Pengertian Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dari sudut istilah membentuk tiga perkataan yang mempunyai makna yang berbeza.
1. Ahl, bermaksud keluarga, golongan atau pengikut.
2. Al-Sunnah, iaitu segala yang di ajarkan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, maksudnya semua yang datang dari Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam berupa perbuatan, ucapan dan pengakuan baginda[1].
3. Al-Jama`ah, iaitu apa yang telah disepakati oleh para sahabat Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam pada zaman Khulafa al-Rasyidin (Khalifah Abu Bakar radiyallahu`anhu, Umar bin al-Khatthab radiyallahu`anhu, Uthman bin `Affan radiyallahu`anhu dan `Ali bin Abi Thalib radiyallahu`anhu). Kata al-Jama`ah ini di ambil dari hadis Nabi.
Rasulullah sallallahu`alaihi wa sallam bersabda:
"مَنْ أَرَادَ بُحْبُوْحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمِ الْجَمَاعَةَ".
Maksudnya:"Barangsiapa yang ingin mendapatkan kehidupan yang damai di syurga, maka hendaklah ia mengikuti al-Jama`ah".
[Diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi dan al-Hakim]
Syaikh Abdul Qadir al-Jailani (471-561 H) menjelaskan:[2].
"فَالسُّنَّةُ مَا سَنَّهُ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْجَمَاعَةُ مَا اتَّفَقَ عَلَيْهِ أَصْحَابُ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي خِلافَةِ الأَئِمَّةِ الأَرْبَعَةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ الْمَهْدِيِّيْنَ رَحْمَةُ اللهِ عَلَيْهِمْ أَجْمَعِيْنَ".
"Al-Sunnah adalah apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam iaitu (meliputi ucapan, perilaku, serta ketetapan baginda). Sedangkan al-Jama`ah adalah sesuatu yang telah menjadi kesepakatan para sahabat Nabi sallallahu`alaihi wasallam pada masa Khulafa al-Rasyidin yang empat, yang telah diberi hidayah oleh Allah ke atas mereka (mudah-mudahan Allah memberi Rahmat kepada mereka semua)".
Pada hakikatnya ajaran yang dibawa oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam dan diteruskan oleh para sahabatnya tentang aqidah tersebut telah termaktub di dalam al Quran dan al-Sunnah tetapi masih belum tersusun secara sistematik. Maka pada zaman yang seterusnya pengajian tentang aqidah ini di susun dengan cara yang sistematik oleh dua orang ulama` yang mahir dalam bidang Usuluddin yang besar iaitu al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari dan al-Imam Abu al-Mansur al-Maturidi agar mudah difahami. Disebabkan jasa mereka begitu besar terhadap umat Islam di zamanya dan zaman selepas mereka, maka penyebutan Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah selalu dikaitkan dengan kedua-dua ulama` ini.
Berkata Sayyid Murtadha al Zabidi di dalam kitabnya “Ittihaf Sadat al-Muttaqin” syarah bagi kitab “Ihya’ `Ulumiddin” karangan al-Imam Al-Ghazali[3].
"إِذَا أُطْلِقَ أَهْلُ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ فَالْمُرَادُ بِهِمْ الأَشَاعِرَةُ وَالْمَاتُرِيْدِيَّةُ".
Maksudnya:
"Apabila disebut ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah, maka yang dimaksudkan dengannya ialah golongan al-Asya`irah dan al-Maturidiyyah (fahaman atau fatwa-fatwa yang diajarkan oleh Abu al-Hassan Asy`ari dan Abu al-Mansur Al- Maturidi)".
Berkata Syaikh Muhammad Amin yang masyhur dengan gelaran Ibnu `Abidin al-Hanafi di dalam kitabnya “Radd al-Mukhtar `ala al-Durar al-Mukhtar”.
"أَهْلُ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةِ هُمْ الأَشَاعِرَةُ وَالْمَاتُرِيْدِيَّةُ".
Maksudnya:
"Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah mereka adalah al-Asy`irah (pengikut Abu al-Hassan al-Asy`ari) dan al-Maturidiyyah (pengikut Abu al-Mansur al-Matauridi)".
Nama lengkap Abu al-Hassan al-Asy`ari ialah Abu al-Hassan `Ali ibn Isma`il ibn Abu Basyar Ishaq ibn Salim ibn Ismail ibn Abdullah ibn Musa ibn Bilal ibn Abi Burdah ibn Abu Musa Abdullah (sahabat Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam dikenali dengan nama Abu Musa al-Asy`ari) ibn Qais al-Asy`ari. Beliau dilahirkan pada tahun 260 Hijrah di Basrah (Iraq), selepas 55 tahun kewafatan al-Imam al-Syafi`e. Beliau telah wafat pada tahun 324 Hijrah di Basrah pada usia 64 tahun.
Beliau merupakan pemimpin Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah, imam ahli kalam, pendukung Sunnah Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, pembantu agama yang pakar dalam bidang keilmuan dan giat berusaha menjaga kesucian aqidah umat Islam. Al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari pada hakikatnya tidak mengadakan sesuatu perkara baru dalam bidang akidah, sebaliknya beliau merupakan orang yang menyusun semula ilmu akidah mengikut apa yang telah ditetapkan di dalam al Quran dan apa yang di bawa dan dii`tikadkan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam dan para sahabat radiyallahu`anhum ajmaien.
DEFINISI AL-ASYA`IRAH
Perkataan al-Asya`irah diberikan atau digunakan kepada mereka yang menjalani dan mengikut metode al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari dalam perkara I`tiqad (keyakinan) (tidak secara taqlid buta tetapi dengan cara mengambil petunjuk).
Ia di nisbahkan kepada al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari sebagaimana dinisbahkan kepada mazhab empat al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik, al-Imam al-Syafi`i dan Imam Ahmad ibn Hanbal dalam masalah furu` fiqhiyyah. Sekalipun mereka berlainan atau berbeza pada jalan-jalan istinbat dan pengeluaran hukum-hakam, namun mereka bersatu pada sumber dan ambilan. Demikian juga al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari dalam bidang Usuluddin yang mengambil daripada al-Quran al-Karim dan al-Sunnah yang mulia dan berjalan di atas manhaj para Salaf al-Salih. Perkataan al-Asya`irah dinisbahkan kepadanya kerana beliau telah merintis jalan tersebut dan menyusun serta memasyhurkannya kepada umat manusia selepas ahli bid`ah dan orang yang mengikut hawa nafsu berusaha menghapuskannya.
DALIL-DALIL YANG MENUNJUKKAN AL-IMAM ABU AL-HASSAN AL-ASY`ARI INI BENAR:
Terdapat banyak dalil yang menyatakan bahawa al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari adalah benar dan merupakan individu yang bertanggungjawab dalam menyusun kerangka `Aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang bertetapan dengan aqidah Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam dan para sahabat radiyallahu`anhum ajmaien.
Ramai dari kalangan kumpulan ulama` besar yakin dengan berita gembira yang dibawa oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam mengenai kehadiran Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari sebagaimana yang terdapat didalam hadis Al-Asy`ariyyin.
Rasulullah sallallahu`alaihi wa sallam bersabda:
" اِقْبَلُوْا البُشْرَى يَا بَنِيْ تَمِيْمٍ ".
Mafhumnya:
“Terimalah berita gembira wahai bani Tamim!”.
Kemudian, mereka berkata:
“Engkau telah memberi berita gembira kepada kami, maka berikanlah kepada kami (habuan dunia) dua kali", lalu wajah baginda berubah - kerana dukacita ke atas mereka bagaimana mereka mengutamakan dunia -. Kemudian, baginda didatangi segolongan manusia daripada kalangan orang Yaman, lalu baginda bersabda:
" يَا أَهْلَ الْيَمَن اِقْبَلُوْا البُشْرَى إِذْ لم يَقْبَلْهَا بَنُوْ تَمِيْمٍ ".
Maksudnya:
“Wahai orang Yaman! Terimalah berita gembira kerana Bani Tamim belum menerimanya”. Kemudian, mereka berkata: “Sesungguhnya kami telah terima wahai RasulaLlah, kami datang kepadamu agar kami dapat mendalami agama dan supaya kami bertanya kepadamu tentang perkara yang pertama wujud",
lalu baginda bersabda:
" كَانَ اللهُ وَلَمْ يَكُنْ شَيْءٌ غَيْرُهُ ".
Maksudnya:
“Allah telah wujud (pada azali) sedang sesuatu selain-Nya belum wujud”.
[Diriwayatkan oleh Imam al Bukhari daripada Imran ibn al-Husain]
Maksud hadis ini ialah Allah telah wujud sejak dari (tidak ada permulaan), sedangkan pada ketika itu, suatu tempat pun tidak ada, suatu masa pun tidak ada, suatu arah pun tidak ada, suatu arasy pun tidak ada, suatu langit pun tidak ada, suatu benda pun tidak ada, gerakan pun tidak ada, suatu diam pun tidak ada, suatu gelap pun tidak ada, suatu cahaya pun tidak ada.
Sebenarnya al-Imam al-Bukhari telahpun meriwayatkan dalam kitabnya Sahih al-Bukhari daripada Abu Hurairah radiyallahu`anhu.
Rasulullah sallallahu`alaihi wa sallam bersabda:
"أَتَاكُمْ أَهْلُ الْيَمَن هُمْ أَرَقُّ أفئدةً وَأَلْيَنُ قُلُوْبًا الإِيْمَانُ يَمَانٌ وَالْحِكْمَةُ يَمَانِيَّةٌ".
Maksudnya:
“Orang Yaman telah datang kepada kamu, mereka amat halus jiwa dan sangat lembut hatinya. Iman adalah Yaman dan hikmah adalah Yamaniyyah”.
[Diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim]
Di dalam hadith yang lain Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda :
"يُقَدِّمُ قَوْمٌ هُمْ أَرَقُّ أَفْئِدَةَ مِنْكُمْ ."
Maksudnya:“Akan datang suatu kaum, mereka mempunyai hati yang lembut dari kalangan kamu”.
Selepas Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam menuturkan hadith ini, datang kaum Al-Asy`ariyyun dari Yaman, di antaranya Abu Musa Al-Asy`ari (datuk Abu al-Hassan al-Asy`ari). Beliau ialah Abdullah ibn Qais ibn Salim ibn Haddhar ibn Harb ibn Amir Al-Asy`ari. Beliau mempunyai suara lunak dan mampu membaca al-Quran dengan baik sehingga apabila bacaannya diperdengarkan, maka orang akan mendengar bacaaannya dengan penuh khusyu` dan merendahkan diri. Daripada Abdullah ibn Buraidah daripada bapanya, bahawa Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam mendengar bacaan al-Quran yang dibaca oleh Abu Musa Al- Asy`ari radhiyallahu`anhu, lalu baginda bersabda : "Sesungguhnya dia telah diberikan satu seruling daripada seruling-seruling keluarga Nabi Daud"
Di dalam peristiwa Tahkim, Abu Musa Al-Asy`ari telah dipilih sebagai wakil kumpulan. Sayyidina Ali ibn Abu Talib untuk bertemu dengan Amru al-`As yang menjadi wakil kumpulan Mu`awiyyah.
Rasulullah sallallahu`alaihi wa sallam pernah mendoakan beliau dengan doanya :
"اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعَبْدِ اللهِ بْنِ قَيْسٍ ذَنْبَهُ وَأَدْ خِلْهُ يَوْمَ الْقِيَا مَةِ مُدْ خَلا كَرِيْمًا".
Maksudnya:
“Ya Allah! Ampunkanlah dosa Abdullah ibn Qais dan masukkanlah dia pada hari kiamat ke tempat yang mulia”.
[Diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari]
Allah ta`ala berfirman:
Maksudnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia(Allah) kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia (Allah); mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku keras terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi meliputi pengetahuan-Nya".
(Surah Al-Maidah : 54)
Al-Hafiz Ibn `Asakir meriwayatkan di dalam kitabnya Tabyin Kadzib al-Muftari dan al-Hakim meriwayatkan dalam kitabnya al-Mustadrak sebab turun ayat di atas:
"لَمَّا نَزَلَتْ: {فَسَوْفَ يَأْتِي اللهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّوْنَهُ} قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (هُمْ قَوْمُكَ يَا أَبَا مُوْسَىْ) وَأَوْمَأَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ إِلَى أَبِيْ مُوْسَىْ الأَشْعَرِيِّ".
Maksudnya:
“Tatkala ayat {فسوف يأتي الله بقوم يحبهم ويحبونه} turun, lalu Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda: “Mereka kaummu wahai Abu Musa”, dan Rasulullah sallallahu`alaihi wa-sallam menunjukkan dengan tangan baginda kepada Abu Musa al Asy`ari”.
Al-Hakim menghukumkan hadis di atas sebagai hadis sahih `ala shahih Muslim. Hadis di atas juga diriwayatkan oleh al-Tabari dalam kitab tafsirnya, Ibn Abi Hatim, Ibn Sa`d dalam kitabnya al-Tabaqat al-Kubra dan al-Tabrani dalam kitab al-Mu`jam al-Kabir. Al-Hafiz al-Haythami berkata di dalam kitabnya Majmu` al-Zawa’id bahawa rijal hadis tersebut adalah rijal al-sahih.
Al-Imam al-Qurtubi berkata di dalam kitab tafsirnya (al-Tafsir al-Qurtubi) jilid. VI, halaman. 220: “Al-Qushayri berkata:
“Maka para pengikut Abu al-Hasan al-Asy`ari adalah termasuk kaumnya kerana setiap tempat yang disandarkan di dalamnya oleh suatu kaum kepada seseorang nabi maka maksudnya ialah para pengikut”.
Berkaitan dengan hadis yang mempunyai maksud yang sama dengan hadis di atas iaitu dengan lafaz (هم قوم هذا) yang mafhumnya: “Mereka adalah kaum lelaki ini” sambil Nabi sallallahu`alaihi wasallam mengisyarat tangannya kepada Abu Musa al-Asy`ari."
Rasulullah sallallahu`alaihi wa sallam bersabda:
"هُمْ قَوْمُ هَذًا".
Maksudnya:
"Mereka adalah kaum orang ini."
[Diriwayatkan oleh Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak]
Oleh yang demikian itu, hadis tersebut adalah busyra (berita gembira) bagi seluruh pengikut Al-Asy`ariyyah dan Al-Maturidiyyah bahawa mereka sesuai dengan aqidah Rasulullah, maka berbahagialah orang yang sentiasa mengikuti jalan mereka. Aqidah Al-Asy`ariyyah dan Al-Maturidiyyah adalah aqidah kaum muslimin dari kalangan Salaf dan Khalaf, aqidah para khalifah dan Sultan yang terdahulu seperti Sultan Shalahuddin Al-Ayyubi dan Sultan Muhammad Al-Fatih.
Ramai ulama` yang bersetuju dengan pentakwilan hadith ini. Imam Al-Baihaqi menyatakan kemuliaan yang besar dan martabat yang mulia, yang dapat difahami dari hadith ini ialah ditujukan kepada al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari kerana beliau berasal dari kaum Abu Musa Al-Asy`ari dan dari kalangan generasinya yang dikurniakan limpahan ilmu dan rezeki memahami sesuatu ilmu, mendukung sunnah Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, menolak bid`ah, menegakkan hujah dan menolak kesamaran.
Al-Imam al-Bukhari juga meriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda tentang Abu Musa al-Asy`ari dan kaumnya.
Rasulullah sallallahu`alaihi wa sallam bersabda:
"هُمْ مِنِّيْ وَأَنَا مِنْهُمْ".
Mafhumnya:
"Mereka dariku dan aku dari mereka".[4]
Maka dapat difahami daripada hadis ini, bahawa Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam menegaskan bahawa kaum Abu Musa al-Asy`ari adalah merupakan kaum yang dikasihi Allah ta`ala dan mereka mengasihi Allah Ta`ala kerana kesahihan pegangan agama mereka dan kekuatan keyakinan mereka dan semangat mereka dalam memperjuangkan akidah yang haq dan menghapuskan kebatilan.
Maka tidak hairanlah, Abu al-Hassan al-Asy`ari mendapat ketinggian dan kemuliaan dengan diangkat menjadi ketua Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah pada zamannya dan sehingga hari kiamat. Beliau berketurunan Abu Musa Al-Asy`ari iaitu salah seorang sahabat Nabi sallallahu`alaihi wasallam yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah ta`ala dan Rasul-Nya. Justeru, sebahagian ulama` berpendapat bahawa keberkatan ini berkemungkinan kerana tepukan tangan Nabi sallallahu`alaihi wasallam ke bahu Abu Musa Al-Asy`ari radhiyallahu`anhu.
Al-Imam Al-Baihaqi menyatakan isyarat yang terdapat dalam hadis ini tidak akan dapat difahami oleh seseorang melainkan orang-orang yang mendapat taufiq, mendapat cahaya daripada Allah ta`ala dan orang-orang yang mempunyai ilmu yang mendalam dan dikurniakan dengan pandangan ainul al-basirah (mata hati).
Allah ta`ala berfirman:
Mafhumnya:
"Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (Demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis - apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturan-Nya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar) ".
(Surah An-Nur : 40)
Al-Imam al-Qurtubi menaqalkan kata-kata al-Hafiz al-Baihaqi di dalam kitabnya “Al-Jami` Li Ahkam al-Quran”. Juzuk 6. halaman. 220.
"Demikian itu kerana apa yang terdapat didalamnya dari keutamaan yang besar dan martabat yang mulia untuk al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari radhiyalallahu`anhu . Maka dia tergolong dari kaum Abu Musa Al-Asy`ari radhiyalallahu`anhu dan putera-puteranya yang telah diberi ilmu dan dianugerahi pemahaman yang khusus".
Al-Hafiz Ibn `Asakir berkata di dalam kitabnya “Tabyiinu Kadzib Al-Muftari”:
“Dan telah maklum berdasarkan dalil-dalil akal dan bukti-bukti usul bahawa tiada seorangpun daripada anak-anak Abu Musa tidak ada yang dapat menyanggah golongan sesat dan tidak ada yang dapat menolak kekeliruan golongan bid`ah dan sesat dengan hujah-hujah yang ampuh daripada kitab al-Quran dan al-Sunnah dan dengan dalil-dalil yang mantap daripada ijma` dan qiyas melainkan al-Imam Abu al-Hasan al-Asy`ari radiyallahu`anhu. Maka beliau telah berjihad melawan musuh-musuh kebenaran, menghentam mereka, memecahkan kata-kata mereka dan menghancurkan kesatuan mereka dengan hujah-hujah akal yang ampuh dan dalil-dalil sam`iyyah (al-Quran dan al-Sunnah) yang mantap”.
Al-Hafiz Ibn `Asakir berkata di dalam kitabnya “Tabyiin Kadzib Al-Muftari” halaman. 397.
"Mereka (golongan Asya`irah) berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah, menjauhi faktor-faktor yang membawa kepada fitnah, yang tetap kuat bersabar dalam mempertahankan agama mereka, mengalahkan musuh-musuh dengan kekuatan bantuan hujah, tidak pernah meninggalkan berhujah dengan al-Quran dan hujah-hujah daripada hadis, tidak juga menggunakan akal sebebas golongan Qadariyyah dan Mu`attilah (golongan yang menafikan terus sifat Allah ta`ala), tetapi mereka menggabungkan penggunaan dalil naqli (al-Quran dan al-Hadith) dengan akal, lalu menjauhi manhaj Mu`attilah, bahkan turut menolak kewujudan golongan Mujassimah Musyabbihah (golongan yang menyamakan Allah ta`ala dengan makhluk, mereka berkata Allah mempunyai tangan, muka, duduk di atas `Arasy tetapi duduk-Nya tidak sama dengan makhluk), lalu membongkar kesesatan fahaman ahli bid`ah dengan dalil-dalil yang nyata. Mazhab mereka (Asya`irah) adalah pertengahan, masyrab (asas) mereka adalah asas yang sebaik-baiknya, kedudukan mereka adalah kedudukannya sebaik-baiknya, darjat mereka adalah setinggi-tinggi darjat, yang mana mereka tidak pernah tercela dengan celaan orang yang mencela atau direndahkan oleh orang yang mempertikaikan".
Al-Imam Taj al-Din `Abd al-Wahhab ibn `Ali ibn `Abd al-Kafi al-Subki (W 771) berkata di dalam kitabnya “Tabaqaat al-Syafi`iyyah al-Kubra” jilid 2, halaman. 263.
"Ketahuilah, bahawa Abu al-Hassan al-Asy`ari tidak mereka atau mencipta suatu pendapat dan tidak menubuhkan suatu mazhab, tetapi beliau hanya menetapkan atau memperakui mazhab Salaf dan mempertahankan apa yang pernah dipegang oleh sahabat Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam. Ia dinisbahkan kepadanya hanya kerana beliau telah mengikatnya di atas jalan Salaf dan berpegang dengannya serta menegakkan hujjah-hujjah dan dalil-dalil di atasnya. Maka jadilah orang yang mengikutnya di atas jalan ini dinamakan sebagai Asy`ari atau al-Asya`irah".
Al-Imam Taj al-Din `Abd al-Wahhab al Subki menyatakan lagi dengan tegas pada halaman 272 :
"Bahawa kesemua ulama` Hanafi, Syafi`i, Maliki dan Hanbali bernaung di bawah aqidah yang satu iaitu di bawah naungan Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang beriman kepada Allah ta`ala dengan jalan syeikh Abu al-Hassan al-Asy`ari. Beliau menambah lagi dengan katanya : kesimpulannya, aqidah Al-Asy`ari ialah aqidah yang mengandungi aqidah Abu Ja`far al-Tohawi yang diterima dan dipersetujui oleh para ulama` mazhab ".
Al Habib Abdullah ibn `Alawi al-Haddad berkata di dalam kitabnya “Risalah al-Mu`awanah”, halaman., 60-61.
"Kumpulan yang terselamat ialah kumpulan yang dikenali sebagai Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah. Beliau menyatakan bahawa aqidah yang disusun oleh Abu al-Hassan al-Asy`ari merupakan aqidah ahli kebenaran. Mereka ialah golongan yang berpegang dengan Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, sahabat-sahabatnya dan salafussoleh. Dinamakan Al-Asya`irah kerana ia dinisbahkan kepada Syeikh Abu al-Hassan al-Asy`ari yang telah menyusun kaedah-kaedah aqidah ahl al-Sunnah dan menulis dalil-dalilnya. Ia merupakan aqidah yang telah disepakati oleh sahabat dan orang-orang yang selepasnya dari kalangan tabi`in yang besar, iaitu aqidah Ahli Sunnah bagi ahli setiap zaman dan tempat. Ia merupakan aqidah seluruh ahli tasawwuf sebagaimana yang disebut oleh Abu Qasim Al-Qusyairi pada awal penulisan kitab Risalahnya. Alhamdulillah, ia merupakan aqidah kami dan aqidah saudara-saudara kami dari kalangan ketua-ketua keturunan Sayyiduna Husain radhiyallahu`anhu yang terkenal dengan keluarga Ba`alawi dan aqidah ahli-ahli Salaf kami semenjak zaman Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam hingga ke hari ini.
Kemudian aku bernasyid :
"وَكُنْ أَشْعَرِيًّا فِيْ اعْتِقَادِكَ إِنَّهُ هُوَ الْمَنْهَلُّ الصَّفِيُّ عَنِ الزَّيْغِ وَالْكُفْرِ".
Maksudnya:
"Dan hendaklah kamu menjadi Asy`ari pada aqidah kamu kerana sesungguhnya ia adalah aliran yang bersih daripada sebarang penyelewengan dan kekufuran".
Oleh kerana itu, kita melihat aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang sebenar ini masih diguna pakai sehingga ke hari ini dan inilah aqidah yang menjadi pegangan sarjana Islam dan jaguh-jaguh ulama` semenjak berkurun lamanya. Sebagaimana yang dimaklumi, pengikut mazhab al-Asy`irah adalah terdiri dari kalangan para ilmuwan, ahli hadis dan para mujtahid. Memadailah disebut beberapa orang dari kalangan mereka.
Antara Ulama`-Ulama` dalam Bidang Aqidah yang Bermazhab Al-Asya`irah:
Abu Hassan al-Bahili (W. 370 H)
Imam Al-Baqillani (W. 405H)
Abu Ishaq Al-Isfarayini (W. 418 H)
Imam Ishaq Al-Syirazi (W. 476 H)
Imam Al-Juwaini
Imam Al-Haramain Abu Al-Ma’ali Al-Juwaini (W. 478 H), pengarang kitab An-Nizomiyah
Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali pengarang kitab Al-Iqtisod fi Al-I’tiqod (W. 505 H)
Imam Ibn ‘Asakir (W. 576 H), pengarang kitab Tabiyiin Kadzib Al-Muftari
Imam Al-Syahrastani (W. 548 H)
Imam Fakhruddin Ar-Razi pengarang kitab Asas Al-Taqdis (W. 606 H)
Imam Al-Allamah Al-Amadi (W. 631 H)
Imam Al-Iji (W. 756 H)
Imam Sa’ad Al-Taftazani (W. 793 H) pengarang kitab Syarh Al-Maqosid
Imam Al-Syarif Al-Jurjani (W. 816 H)
Imam Abu Mansur Al-Tamimi
Imam Nas Al-Maqdisi
Imam Al-Farawi
Imam Abu Al-Walid Al-Baji
Imam Sultonul Ulama’ Izz ibn Abdis Salam
Imam HibbatulLah Al-Makki
Imam Al-Baijuri
Antara Mufassir-mufassir Bermazhab Al-Asya`irah
Imam Al-Mufassir Al-Allamah Al-Qurtubi
Imam Al-Mufassir Ibn Kathir (rujuk buku tobaqot As-Syafi’iyyah Al-Kubra 10/200 karangan Imam Al-Subki, Al-Durar Al-Kaminah 1/85 karangan Ibn Hajar dan sebagainya)
Imam Al-Mufassir Ibn ‘Athiyyah Al-Andalusi, pengarang kitab Tafsir Al-Muharrar Al-Wajiz
Imam Al-Mufassir Abu Hayyan Al-Andalusi, pengarang kitab Al-Bahr Al-Muhith.
Imam Al-Mufassir Fakhruddin Ar-Razi, pengarang kitab tafsir mafatih Al-Ghaib
Imam Al-Mufassir Al-Hafiz Al-Bahgowi, pengarang kitab tafsir Al-Baghowi dan kitab Syarh Al-Sunnah.
Imam Al-Mufassir Abu Al-Laith Al-Samarqandi, pengarang kitab tafsir Bahr Al-Ulum, kitab bustan al- Arifin dan tanbih Al-Ghafilin.
Imam Al-Mufassir Abu Al-Hasan Ali Al-Naisaburi pengarang kitab asbab An-Nuzul.
Imam Al-Mufassir Abu At-Thana’ Syihabuddin Al-Alusi Al-Husaini Al-Hasani.
Imam Al-Mufassir At-Thamin Al-Halabi, pengarang kitab tafsir Al-Durr Al-Mashun.
Imam Al-Mufassir Al-Hafiz Jalaluddin Al-Suyuti, pengarang kitab Tafsir Al-Durr Al-Manthur.
Al-Imam Al-Khotib Al-Syirbini, pengarang kitab Tafsir Al-Siraj Al-Munir.
Imam Al-Allamah Al-Thohir bin Asyur, pengarang kitab Al-Tahrir wa Al-Tanwir
Imam Az-Zarkasyi
Imam Mutawalli Al-Sya’rawi.
Ulama`-ulama` Muhaddithin (hadith) yang bermazhab Al-Asya`irah:
Imam Al-Hafiz Abu Al-Hasan Al-Darqutni.
Imam Al-Hafiz Abu Nu’aim Al-Ashbahani, pengarang kitab Hilyatul Auliya’
Imam Al-Hafiz Al-Hakim Al-Naisaburi, pengarang kitab Mustadrak
Imam Al-Hafiz Ibn Hibban, pengarang kitab Al-Thiqat
Imam Al-Hafiz Abu Sa’id Ibn Al-Sam’ani, pengarang kitab Al-Inshof
Imam Al-Hafiz Abu Bakr Al-Baihaqi, pengarang kitab-kitab hadith dan kitab Al-Asma’ wa As-Sifat.
Imam Al-Khatib Al-Baghdadi
Imam Al-Hafiz Muhyiddin Yahya bin Syarf Al-Nawawi, pengarang kitab Syarh sahih muslim dan banyak lagi.
Sheikhul Islam Imam Al-Hafiz Abu Amr bin Al-Solah
Imam Al-Hafiz Ibn Daqiq Al-‘Aid
Imam Al-Hafiz Ibn Abi Jamrah Al-Andalusi, musnid Ahlul Maghrib
Imam Al-Hafiz Al-Karmani, pengarang syarah sahih Al-Bukhari
Imam Al-Hafiz Al-Munziri, pengarang Al-Targhib wa At-Taqrib
Imam Al-Hafiz Al-Imam Al-Nawawi, pensyarah sahih Muslim
Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqolani, pengarang Fahtul al-Bari (penutup bagi segala huffaz Ibnu Hajar al-`Asqalani)
Imam Al-Hafiz Al-Sakhowi.
Imam Al-Qostollani pengarang Irsyad As-Sariy
Imam Al-Hafiz Al-Munawi.
Imam Al-Hafiz Al-Dimyathi.
Sheikh Al-Hafiz Waliyullah Al-Dahlawi.
Sheikh Abu Al-Mahasin Al-Qouquji
Sheikh Al-Hafiz Ahmad Al-Siddiq Al-Ghumari.
Sheikh Al-Musnid Muhammad Al-Hafiz Al-Tijani.
Sheikh Musnid Al-Dunya, Sheikh Muhammad Yasiin Al-Fadani.
Sheikh Al-Musnid Abbas Al-Maliki
Antara Ulama`-ulama` Sirah yang Bermazhab Al-Asy`ari:
Imam Qadhi `Iyad, pengarang kitab Al-Syifa fi Syama’il wa ahwal Al-Mustofa
Imam Al-Suhaili, pengarang kitab Al-Raudh Al-Unf
Sheikh Ibn Khaldun
Imam Ibn Athir.
Imam Al-Solihi Al-Dimasqi, pengarang kitab Subulul Huda wa Al-Rosyad
Sheikh Yusuf An-Nabhani.
Antara Ulama`-ulama` Fiqh yang Bermazhab Al-Asya`irah:
Menurut Imam Tajuddin Al-Subki, majoriti ulama` mazhab Al-Syafi`e, Malikiyah, Hanafiyah dan Sebahagian ulama` Hanabilah bermazhab Al-Asy`ari. Demikian diriwayatkan daripada Imam Izzuddin bin Abd al-Salam yang turut diakui oleh Imam Abu Amr ibn Hajib dan Jamaluddin Al-Husairi. (At-Tobaqot 3/365)
Namun, kita senaraikan antara fuqaha’ yang kuat mempertahankan mazhab Al-Asy’ari ini iaitu:
Imam Tajuddin Al-Subki, pengarang kitab Al-Saif Al-Saqil
Imam Sheikhul Islam Zakaria Al-Ansori.
Imam Al-Rafi`e Al-Syafi`e
Imam Ibn ‘Abidin
Imam Ibn Hajib.
Imam Al-Habib Abdullah bin ‘Alawi Al-Haddad.
Imam ‘Alauddin Al-Bukhari
Imam Al-Baidhowi.
Imam Al-Zabidi.
Imam Al-Qorofi.
Mufti Makkah Sheikh Ahmad Zaini Dahlan Al-Syafi`e
Antara Ulama`-ulama` Qiraat yang Bermazhab Al-Asya`irah
Imam Al-Qari’ Ibn Jazari
Imam As-Syatibi.
Antara Pemimpin-pemimpin Islam yang Masyhur yang Bermazhab Al-Asya`irah
Sultan Salehuddin Al-Ayyubi
Sultan Muhammad Al-Fateh
Al-Syahid Al-Imam Hassan Al-Banna
Dan ramai lagi para ulama` Islam yang bermazhab al-Asy`ari...
Semoga Allah s.w.t. memberkati mereka dan seluruh umat Islam... Amin
Antara kekeliruan besar yang meracuni aqidah umat islam ialah wujudnya desas-desus yang menyatakan bahawa aqidah al-Asya`irah bukanlah aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang sebenar. Mereka menyatakan Aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah yang sebenar adalah aqidah yang dibawa oleh golongan Wahhabi iaitu pengikut Ibnu Taimiyah dan Muhammad bin Abdul Wahhab, sedangkan fahaman yang dibawa oleh mereka paling banyak bercanggah dengan aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dan fatwa-fatwa mereka bercanggah dengan ijma` para ulama`. Dari sudut hukum, setiap perkara yang bercanggah dengan ijma` ulama`, maka ia boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur. Hukum yang sama juga dijatuhkan ke atas mereka yang menghalalkan perkara yang telah disepakati oleh semua ulama` yang menyatakan keharamannya.
Oleh itu, tidak ada satu fakta yang tepat untuk meletakkan aqidah Al-Asya`irah tidak sejajar dengan Aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah. Malah menerima fakta yang sesat sebagaimana yang dinyatakan oleh golongan Wahhabi yang menggelarkan diri mereka ini sebagai puak yang mengikut golongan Salaf, dengan kata mereka:
“Abu al-Hassan al-Asy`ari telah bertaubat daripada aqidahnya dan memeluk mazhab wahhabi (yang dianggap mazhab Salaf) dan pengikut-pengikut Abu al-Hassan al-Asy`ari terus berada di dalam kesesatan kerana mereka tidak bertaubat sebagaimana yang dilakukan oleh Imam mereka Abu al-Hassan al-Asy`ari”
Justeru itu, berhati-hatilah dengan golongan mereka ini yang menyebarkan fitnah dan memecah belahkan umat Islam. Kebanyakan mereka ini terdiri dari kalangan orang yang mempunyai pendidikan tinggi seperti pensyarah-pensyarah di Universiti.
Dan demikian dalil yang menyatakan kebenaran al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari radhiyallahu`anhu dan pengikut-pengikutnya. Seterusnya, dalil yang menyatakan kebenaran Al Imam Abu Mansur Al-Maturidi , beliau beri`tiqad seperti yang telah dii`tikadkan oleh dengan Abu Hassan Al-Asy`ari. Beliau wafat di sebuah perkampungan bernama Maturid Samarqand, di Asia Tengah pada tahun 333 Hijrah iaitu setelah 9 tahun kewafatan al-Imam Abu al-Hassan al-Asy`ari. Beliau bermazhab Hanafi dalam bidang fiqh.
Sepertimana tokoh Islam yang lain, beliau juga meninggalkan anak-anak murid yang gigih mempertahankan Aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah di persada dunia Islam. Di antara mereka ialah :
1. Al-Imam Abu Muhammad Abdul Karim ibn Musa al Bazdawi, wafat pada tahun 390 Hijrah.
2. Abu al-Qasim Ishaq ibn Muhammad ibn Ismail, yang terkenal dengan gelaran al Hakim di Samarqand. Wafat pada tahun 340 Hijrah.
3. Al-Imam Abu al-Laith al-Bukhari dan lain-lain lagi. Manakala pengikut al-Imam Abu al-Mansur al-Maturidi digelar dengan al-Maturidiyyah.
Nabi sallallahu`alaihi wasallam pernah bersabda tentang Sultan Muhammad Al-Fatih dan baginda Sultan adalah pengikut al-Imam Abu al-Mansur al-Maturidiyyah.
Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda[5]:
"لَتُفْتَحَنَّ الْقِسْطَنْطِيْنِيَّةُ فَلَنِعْمَ الأَمِيْرُ أَمِيْرُهَا وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذَلِكَ الْجَيْشُ".
Mafhumnya:
"Qosthonthiniyyah (Istanbul sekarang) pasti akan ditakluk, maka sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin yang berhasil menakluknya dan sebaik-baik angkatan tentera adalah angkatan tentera tersebut ".
Menerusi hadis ini Rasulullah memuji Sultan Muhammad Al-Fatih kerana baginda adalah sultan yang salih, aqidahnya sesuai dengan aqidah Rasulullah. Baginda juga telah berjaya menakluki Kota Qosthonthiniyyah (kota Istanbul) dan merampasnya daripada orang kafir. Seandainya aqidahnya menyalahi aqidah Rasulullah, maka Rasulullah tidak akan sama sekali memujinya. Seperti yang sedia maklum bahawa diketahui dan dicatat oleh sejarah bahawa Sultan Muhammad Al-Fatih adalah mengikut aqidah Al-Asy`ari al-Maturidi, baginda meyakini bahawa Allah wujud tanpa bertempat.
Jika aqidah Sultan Muhammad Al-Fatih ini bertentangan dengan aqidah Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam, nescaya Rasulullah tidak akan memuji baginda. Begitu juga Sultan Salahuddin Al-Ayyubi seorang raja yang `alim, beraqidah al-Asy`irah dan bermazhab al-Syafi`e. Baginda telah menghafal al-Quran dan kitab al-Tanbih dalam fiqh al-Syafi`e serta sering menghadiri majlis-majlis ulama` hadis. Beliau memerintahkan agar dikumandangkan aqidah Sunni al-Asya`irah dari atas menara masjid sebelum solat Subuh di Mesir, tanah al-Hijjaz (Makkah dan Madinah) dan di seluruh Negara Syam (Syiria, Jordan, Palestin dan Lebanon).
Al-Imam Muhammad ibn Hibbatillah al-Barmaki telah menyusun untuk Salahuddin al-Ayyubi sebuah risalah berbentuk nazam berisi Aqidah Ahl al-Sunnah dan ternyata baginda sangat tertarik dengannya, akhirnya baginda telah memerintahkan agar aqidah ini diajarkan kepada semua umat Islam ini diajarkan kepada umat Islam, kecil dan besar, tua dan muda, sehingga akhirnya risalah tersebut dikenal dengan nama “al-Aqidah Al-Salahiyyah”. Risalah ini di antaranya memuatkan penegasan bahawa Allah ta`ala Maha Suci dari jisim, sifat-sifat jisim dan Maha Suci dari arah dan tempat.
________________________________________
[1] Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-`Asqalani, Fath al-Bari, juz XII, h. 245.
[2] Syaikh Abdul Qadir Al-Jailani, Al-Ghunyah li Thalibi Thariq al-Haqq, j. 1, h. 80.
[3] Imam Al-Zabidi, Ittihaf al-Saadah al-Muttaqin, j. 2, h. 6.
[4] Diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di dalam kitab Shahih Bukhari : Kitab Al-Maghoziy, Bab Quduumil Asy`ariyyun wa Ahlul Yaman/ bab kedatangan al Asy`ariyyun dan orang Yaman.
[5] Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya j. 4, h. 335 dan Al-Hakim di dalm Mustadraknya j. 4, h. 424.
1 comments:
salam, mintak izin nk copy maklumat dlm blog ni
Post a Comment