.

Sunday, July 4, 2010

KEUTAMAAN MENUNTUT ILMU AKIDAH

Posted by Ibnu `Alwi al-Syafi`e

KEUTAMAAN ILMU AQIDAH


Ilmu aqidah ataupun ilmu tauhid adalah perkara utama dan pertama yang wajib dipelajari. Hal ini dengan melihat kepada beberapa dalil. Antaranya:

Firman Allah ta`ala: 


"فَاعْلَمْ أَنَّهُ لآإِلَهَ إِِلا اللهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذََنْبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ"

Maksudnya:

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan mohonlah keampunan bagi dosamu, bagi muslimin dan muslimat”.                                 
                                                                                                                                                                                                                                               (Surah Muhammad : 19)


Ayat ini mendahulukan perintah agar mempelajari ilmu Tauhid iaitu mengenal Allah sebelum perintah agar memohon ampun.


Rasulullah pernah ditanya tentang amalan yang paling utama, lalu Baginda menjawab:


  "أَفْضَلُ الأَعْمَالِ إِيـْمَانٌ بِاللهِ وَرَسُولِهِ". 
Maksudnya:

“Perbuatan yang paling utama (secara mutlak) beriman kepada Allah dan Rasul-Nya”.  


       
[Diriwayatkan oleh al-Imam Bukhari]
                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     

Ini adalah kerana segala amalan soleh yang dikerjakan tanpa disertakan dengan iman kepada Allah dan Rasul-Nya serta aqidah yang sahih tidak akan diterima sama sekali oleh Allah.
Syarat bagi sesuatu amalan soleh itu diterima adalah iman. Beriman kepada Allah adalah mengenal Allah dan yakin di dalam hati tanpa syak (seimbang antara percaya dengan tidak iaitu ragu-ragu), waham (lebih tidak percaya daripada percaya) dan zhan (lebih percaya daripada tidak percaya). Sekiranya ketiga-tiga ini (syak, waham dan zhan) berhimpun di dalam diri seseorang, maka ia belum lagi beriman kepada Allah ta`ala.


Allah ta`ala berfirman:


"وَمَن يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِن ذِكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُوْلآئِكَ يَدْخُلُوْنَ الْجَنَّةَ وَلايُظْلَمُوْنَ نَقِيْرًا"
Maksudnya:

“Dan sesiapa Yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman (ertinya iman syaratnya), maka mereka itu akan masuk syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun”.
                                                                                                  (Surah al-Nisa’ : 124)

Sebagaimana yang telah diketahui di dalam Islam, semua amalan soleh yang dilakukan oleh seseorang dengan penuh keikhlasan hanya akan diterima oleh Allah ta`ala apabila didasari dengan aqidah yang benar dan jauh dari penyimpangan iman yang murni kepada Allah ta`ala. Dan penyimpangan daripada keimanan yang berbentuk kekufuran kepada Allah ta`ala seperti menyamakan Allah ta`ala dengan makhluk-Nya. Dalam hal ini Allah ta`ala telah berfirman di dalam al-Quran.
 Allah ta`ala berfirman:


"مَّثَلُ الَّذِيْنَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ أَعْمَالُهُمْ كَرَمَادٍ اشْتَدَّتْ بِهِ الرِّيحُ فِي يَوْمٍ عَاصِفٍ لا يَقْدِرُونَ مِمَّا كَسَبُوا عَلَى شَيْءٍ ذَلِكَ هُوَ الضَّلالُ الْبَعِيدُ"

Maksudnya:

“Bandingan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti debu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun dari apa Yang mereka telah usahakan itu sia-sianya amalan itu ialah kesan kesesatan Yang jauh dari dasar kebenaran”.
                                                                                                    (Surah Ibrahim : 18)



Dan firman Allah ta`ala lagi :

وَمَن يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَن دِيْنِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولآئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالأَخِرَةِ وَأُولآئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيْهَا خَالِدُوْنَ"
Maksudnya:

"Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya)".
                                                                                          (Surah al Baqarah : 217)

Al-Imam al-Ghazali (W. 505 H) telah berkata:

"لا تَصِحُّ الْعِبَادَةُ إِلا بَعْدَ مَعْرِفَةِ الْمَعْبُودِ".
Maksudnya:
                                                                                                                                           "Tiada sah ibadat seseorang itu kecuali selepas dia mengenal Tuhan yang berhak disembah".


Jelaslah bahawa parameter dalam menentukan sama ada amal ibadat seseorang itu diterima atau tidak adalah berdasarkan kepada ma`rifat Allah (mengenal Allah). Mengenal di sini bermakna mengenal sifat-sifat Allah ta`ala yang wajib, mustahil dan harus bagi Zat Allah ta`ala. Ini bererti bahawa sesiapa yang bukan hanya tidak mengenal Allah bahkan menyamakan dan menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya seperti mengatakan Allah itu seperti cahaya lampu atau mengatakan Allah mendiami langit atau duduk di atas Arasy atau mensifatkan-Nya sama seperti makhluk maka dia sebenarnya telah menyembah sesuatu yang dibayangkan dalam khayalannya. Oleh sebab itu, dia di hukum kafir musyrik dan ibadatnya juga tidak sah.


Ibn Majah meriwayatkan bahawa seorang sahabat Jundub bin Abdullah radiyallahu`anhu telah menyatakan:


"كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ وَنَحْنُ فِتْيَانٌ حَزَاوِرَةٌ فَتَعَلَّمْنَا الإِيـمَانَ قَبْلَ أَن نَتَعَلَّمَ الْقُرْءَانَ, ثُمَّ تَعَلَّمْنَا الْقُرْءَانَ فَازْدَدْنَا بِهِ إِيـمَانًا".
Maksudnya:

"Ketika kami kecil, kami mempelajari keimanan dahulu sebelum mempelajari Al-Quran kemudian setelah kami mempelajari Al-Quran maka bertambah-tambahlah iman kami".  
                                                                                                                                                                          [Lihat dalam Sunan Ibn Majah: al-Muqaddimah]


 

Al-Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam kitabnya Manaqib al-Syafi`e dan al-Hafiz Ibn `Asakir menyebutkan dalam kitabnya Tabyiinu Kizb Al-Muftari bahawa al-Imam al-Syafi`e berkata:

 "أَحْكَمْنَا ذَاكَ قَبْلَ هَذَا".
Maksudnya:

Kami mendalami ilmu tauhid sebelum cabangan fekah”.


 

Al-Imam Abu Hanifah berkata dalam kitabnya al-Fiqh al-Absat:

 "اعْلَمْ أنَّ الْفِقْهَ في الدِّينِ أَفْضَلُ مِنَ الْفِقْهِ في الأَحْكَامِ".
Maksudnya:

Ketahuilah sesungguhnya mendalami ilmu tauhid lebih utama daripada mendalami ilmu hukum-hakam”.


Ini tidak bermakna ilmu hukum-hakam tidak wajib dipelajari, bahkan kata-kata al-Imam Abu Hanifah ini menerangkan bahawa ilmu Tauhid itu sememangnya wajib dan amat penting dan sangat utama.


Al-Imam Al-Junayd telah menjelaskan makna tauhid di dalam kitabnya:

 "التَّوْحِيْدُ إِفْرَادُ الْقَدِيْمِ مِنَ الْمُحْدَثِ".
Maksudnya:

Tauhid adalah mensucikan (Allah) al-Qadim (yang sedia ada, yang tidak mempunyai permulaan) dari (menyerupai makhluk-Nya) yang baharu (ada didahului dengan tiada, ada permulaan dan ada pengakhiran)”.

                                         [Diriwayatkan oleh Al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi]


Di samping alasan-alasan di atas, ketahuilah bahawasanya persoalan aqidah adalah lebih utama kerana perkara yang bersangkut paut dengan aqidah wajib dipegang dan diamalkan seumur hidup walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Hal ini tidak seperti solat, puasa, zakat, zikir, bacaan al-Quran dan sebagainya yang dapat diamalkan pada batasan waktu tertentu. Selain itu, aqidah adalah persoalan pertama yang akan  dikemukakan di alam barzakh yang merupakan gerbang akhirat. Kesimpulannya, setiap mukallaf tidak boleh jahil tentang ilmu akidah kerana hukum mempelajarinya adalah wajib disisi syara`.

0 comments:

Post a Comment

Akhtaru Sabili
Akhtarusabili

terus ke laman utama tanpa perlu klik