.

Monday, June 11, 2012

Syarat-syarat menjadi seorang perawat Islam (Mu`allij)

Posted by Ibnu `Alwi al-Syafi`e


Syarat-syarat menjadi seorang perawat Islam (Mu`allij):

 1. Mempelajari ilmu fardhu ain: 

Perawat mestilah seorang yang mempunyai ilmu mengenai hukum-hakam syara` agar dia tidak terkeluar daripada batasan hukum syara`. Ilmu yang mesti diketahuinya ialah ilmu fardhu ain seperti ilmu aqidah ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah, solat, bersuci, puasa, ilmu tajwid al-Quran dan lain-lain lagi, jika seorang perawat tidak mengetahuinya bahkan jahil tentangnya, maka ia berdosa besar kerana mempelajari ilmu ini adalah wajib sebagaimana sabda nabi sallallahu`alaihi wasallam:

 "طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ".

Maksudnya:
"Menuntut ilmu agama adalah wajib ke atas setiap muslim (lelaki dan perempuan)".

 [Diriwayatkan oleh al-Imam al-Baihaqi]

 إِنَّ طَلَبَ الْعِلْمِ الشَّرْعِيِّ فَرِيْضٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ مُكَلَّفٍ، وَلَيْسَ الْمُرَادُ أَنَّهُ يَجِبُ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ مَعْرِفَةُ جَمِيْعِ مَسَائِلِ الدِّيْنِ بِتَفَا صِيْلِهَا إِنَّمَا الْمُرَادُ أَنَّ هُنَاكَ قَدْرًا مِنْ عِلْمِ الدِّيْنِ يَجِبُ مَعْرِفَةُهُ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ مُكَلَّفٍ ذَكَرًا كَانَ أَوْ أُنْثَىْ.

 Maksudnya:
"Sesunnguhnya menuntut ilmu syari`at hukumnya fardu ke atas muslim yang mukallaf bukanlah maksud di sini wajib ke atas setiap muslim mengetahui segala masalah agama secara terperinci tetapi yang dimaksudkan di sini adalah kewajipan mengetahui sebahagian ilmu agama yang wajib diketahui oleh setiap muslim yang mukallaf sama ada lelaki dan perempuan".

  • Mukallaf ialah orang yang sudah baligh, berakal dan sampai kepadanya dakwah Islam iaitu maksud dua kalimah syahadah.
Selepas mempunyai asas fardhu ain yang kukuh, bolehlah dia menambahkan ilmu fardhu kifayah seperti ilmu tafsir, ulmu hadith, ilmu perubatan Islam berasaskan al-Quran atau herba dan sebagainya. Tidaklah betul bahkan jauh menyimpang dari jalan yang sebenar sekiranya seseorang itu tahun tentang ilmu fardhu kifayah tetapi jahil di dalam ilmu fardhu ain. Hal ini telah banyak berlaku di dalam masyarakat kita pada hari ini.

Oleh itu, sesiapa yang mahu mempelajari ilmu perubatan dengan al-Quran mestilah [wajiblah] mempunyai ilmu asas fardhu ain yang sempurna. Ia dianggap sebagai peringkat asas kepada setiap pelajar, kemudian barulah dia boleh mempelajari ilmu perubatan al-Quran untuk merawat pesakit yang diganggu oleh syaitan la`natullah. Perawat mestilah mempelajari ilmu perubatan al-Quran ini daripada sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara yang berkaitan dengan alam jin dan yang berkaitan dengan sihir berpandukan al-Quran, al-Hadith, Ijma` ulama’ dan qias. Selepas dia mengetahui ilmu-ilmu yang berkaitan dengan jin dan sihir, dia mestilah melengkapi dengan beberapa ilmu yang lain, di antaranya:

2. Ilmu dakwah:

Ilmu dakwah menjadi syarat penting kepada perawat kerana di antara tujuan utama pengubatan ini ialah untuk menyampaikan dakwah kepada manusia malahan kepada golongan jin. Sekiranya seorang perempuan yang terkena sihir mahuh berubat dengannya, di dapati perempuan tersebut membuka aurat, meninggalkan solat, sukakan hiburan yang melalaikan. Menjadi kewajipan kepada pengubat untuk menasihatinya dan berdakwah kepadanya agar kembali kepada jalan yang benar dengan mentaati Allah ta`ala. Kerana langkah pertama di dalam pengubatan ini ialah membuang segala kemaksiatan dan noda dosa yang ada pada pesakit. Tanpa meninggalkan kemaksiatan, pesakit tidak akan dapat disembuhkan dengan sempurna.

Oleh itu, bagaimana mungkin perawat dapat berdakwah kepada pesakit jika sekiranya dia jahil mengenai ilmu dakwah. Sudah semestinya perawat mesti mempelajari ilmu dakwah, bersifat sabar, berhikmah dan bersopan. Firman Allah ta`ala:

Maksudnya:
“Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk”. [Surah al-Nahl: 125]

Firman Allah ta`ala menceritakan cara Luqman menasihati anaknya:

Maksudnya: 
"Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya”. [Surah Luqman: 17]

Oleh itu, perawat mestilah berdakwah dengan penuh hikmah dan kesabaran, ini kerana perawat akan berhadapan dengan pelbagai jenis manusia dan bermacam karenah yang perlu dihadapi. Dengan ini, perawat akan sentiasa sabar dan berakhlak dengan sopan serta tidak berputus asa apabila orang lain menolak atau menentang dakwahnya.

Firman Allah ta`ala:

Maksudnya: 
“Tidaklah engkau diwajibkan (Wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan”. [Surah al-Baqarah: 272]

3. Pengalaman dan latihan: 

Syarat ini amat penting kerana perawat mestilah belajar secara praktikal bersama perawat yang lebih mahir serata berpengalaman jauh. Semakin lama dia mempelajari daripada mereka semakin bertambahlah kemahiran dan pengalamannya. Perawat mestilah mempraktikal ilmunya dihadapan gurunya sehinggalah diyakini dia mampu melakukannya bersendirian dan mempunyai kelayakan di dalam bidang ini. Guru pula mestilah dipilih daripada kalangan beraqidah dengan aqidah ahl al-Sunnah wa al-Jama`ah iaitu aliran al-Asyairah dan al-Maturidiyyah, bertaqwa, wara`, alim dalam ilmu fardhu ain [aqidah, feqh dan tasawwuf], tawadduk dan sebagainya.

Perlu diingatkan kepada pembaca, perkara ini amata penting KERANA SEKIRANYA ANDA SILAP MEMILIH GURU MAKA ROSAK BINASALAH AMALAN ANDA bahkan boleh terjerumus ke lembah kekufuran dan penyelewengan akidah. Para pembaca juga mesti mengetahui bahawasanya tanpa pengalaman dan latihan merawat dibimbangi dia gagal mengawal suasana sehingga boleh menyebabkan pesakit bertambah teruk, histeria, meracau dan sebagainya ketika mengusir jin dari badan pesakit. Jin melakukan perkara seumpama itu adalah untuk menguji dan mempermainkan perawat jika dia tiada pengalaman.

Kesimpulannya, seorang perawat:

1. Hendaklah tamat mempelajari ilmu fardhu ain (aqidah, feqh & tasawwuf).
2. Hendaklah mempelajari bacaan al-Quran dengan tajwid yang betul.
3. Hendaklah beraqidah dengan aqidah yang sahih [benar].
4. Hendaklah berkeyakinan bahawa al-Quran adalah syifa’ [penyembuh] atau penawar yang paling mujarab dalam mengubati penyakit.
5. Hendaklah mengetahui hal ehwal jin dan syaitan serta selok belok penipuan mereka.
6. Hendaklah mengetahui perkara yang diharamkan oleh Islam kerana perkara tersebut itu menjadi sebab serangan jin.
7. Hendaklah mencegah kemungkaran dan mengajak manusia ke arah kebaikkan dan taat dengan segala perintah Allah ta`ala.
8. Hendaklah membentengi diri dengan benteng yang kukuh seperti manzil, hizb, ayat ruqyah dan sebagainya.
9. Hendaklah mempunyai pengalaman dan latihan yang cukup daripada perawat yang lebih berpegalaman.
10. Hendaklah memilih guru yang beraqidah benar dan berilmu.
11. Hendaklah mempelajari cara berdakwah kepada pesakit.
12. Mu`allij disarankan agar segera berumah tangga kerana ia akan menajamkan lagi ilmu perubatannya.

0 comments:

Post a Comment

Akhtaru Sabili
Akhtarusabili

terus ke laman utama tanpa perlu klik