.

Wednesday, July 7, 2010

APA ITU RUKUN IMAN???

Posted by Ibnu `Alwi al-Syafi`e



HURAIAN RINGKAS MENGENAI RUKUN IMAN

1.      BERIMAN KEPADA ALLAH

Ø  Iaitu beriman kepada Allah adalah meyakini bahawa Allah sahajalah Tuhan yang wajib disembah.
Ø  Beriman kepada Allah adalah meyakini bahawa Allah yang menciptakan segala yang ada di bumi mahupun di langit.
Ø  Beriman kepada Allah adalah meyakini bahawa Allah wujud tanpa bertempat dan tidak terlibat dengan masa kerana Allah yang menciptakan tempat dan masa.
Ø  Beriman kepada Allah adalah meyakini bahawa Allah wujud tanpa ada permulaan, Allah tidak akan binasa buat selama-lamanya, Allah Maha Kuasa, Maha Berkehendak, Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Mengetahui.
Ø  Beriman kepada Allah adalah meyakini bahawa Allah Maha Kaya yakni tidak berhajat kepada sekalian mahkuk yang di ciptakan oleh-Nya.
Ø  Beriman kepada Allah adalah meyakini bahawa Allah tidak menyamai dengan kesemua makhluk ciptaan-Nya dan tidak ada sesuatupun yang meyamai-Nya.
CONTOH:
*      Allah yang menciptakan manusia daripada tanah. Oleh itu manusia ada asalnya iaitu diciptakan dari tanah dan manusia adalah makhluk yang diciptakan oleh Allah, sedangkan Allah tidak ada yang menjadikan-Nya
*      Allah yang menciptakan masa, pagi, petang, siang, malam, kelmarin, hari ini, esok. Maka Allah tidak terlibat dengan masa kerana masa adalah ciptaan-Nya.
*      Allah yang menciptakan manusia dan Allah juga yang mematikan manusia tetapi Allah tidak ada yang menciptakan-Nya dan Allah tidak pula mati kerana Allah yang menciptakan kematian.
*      Allah yang menciptakan manusia dengan bertempat iaitu berada di bumi tetapi Allah wujud tanpa bertempat kerana tempat Allah yang ciptakn.
*      Allah yang menciptakan tubuh, tangan, jari, kaki, betis, anak jari, mata, telinga tetapi Allah tidak mempunyai semua itu kerana itu semua adalah makhluk ciptaan-Nya.
*      ALLAH TIDAK BOLEH DIGAMBARKAN DAN DIBAYANGKAN.

2.      BERIMAN KEPADA MALAIKAT

Ø  Iaitu beriman bahawa malaikat adalah makhluk ciptaan Allah yang dijadikan daripada cahaya.
Ø  Beriman bahawa malaikat bukan lelaki mahupun perempuan.
Ø  Beriman bahawa malaikat tidak makan, minum dan tidur.
Ø  Semua malaikat beriman kepada Allah, sentiasa patuh dan taat kepada segala perintah Allah ta`ala.
Ø  Malaikat boleh menyerupai manusia tetapi tanpa alat kelamin.
Ø  Malaikat mempunyai sayap dan tubuh yang amat besar.
Ø  Malaikat merupakan makhluk ciptaan Allah yang paling banyak.
Ø  Tempat tinggal malaikat iaitu di langit.
Ø  Orang Islam wajib mengasihi malaikat dan tidak boleh mempermain-mainkan mereka.
WAJIB MENGETAHUI SEPULUH (10) MALAIKAT IAITU:
1.      Malaikat Jibril, tugasnya menyampaikan wahyu kepada para Nabi.
2.      Malaikat Izrail, tugasnya mencabut nyawa.
3.      Malaikat Israfil, tugasnya meniup sangkakala.
4.      Malikat Raqib, tugasnya mencatat amalan kebaikan.
5.      Malaikat Atid, tugasnya mencatat amalan jahat.
6.      Malaikat Mungkar, tugasnya menyoal mayat di dalam kubur.
7.      Malaikat Nakir, tugasnya menyoal mayat di dalam kubur.
8.      Malaikat Ridwan, tugasnya penjaga Syurga.
9.      Malaikat Malik, tugasnya penjaga Neraka
10.  Malaikat Mikail, tugasnya member rezeki dengan menurunkan hujan.

3.      BERIMAN KEPADA RASUL

Ø  Iaitu mempercayai dan meyakini bahawa Allah yang menghantar para Rasul dan para Nabi untuk manusia dan jin supaya mereka semua beriman kepada Allah dan beribadat kepada-Nya.
Ø  Agar manusia mengetahui perkara ghaib yang akal tidak tahu seperti Syurga dan Neraka.
Ø  Agar manusia melakukan perkara yang baik dan menjauhkan perkara yang keji.
Ø  Nabi yang pertama diutuskan adalah Nabi Adam alaihissalam dan Nabi yang terakhir diutuskan adalah Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam.
Ø  NABI YANG PERTAMA diutuskan kepada orang kafir adalah Nabi Nuh alaihissalam.
Ø  Kesemua Nabi dan Rasul dari Nabi Adam sehinggalah Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam, mereka semua membawa AGAMA ISLAM.
Ø  Beriman bahawa kesemua Rasul dan Nabi adalah manusia mulia yang bersifat:

1.      Benar dan betul, tidak pernah menipu.
2.      Pandai dan cerdik, tidak bodoh dan lembab.
3.      Amanah dan jujur, tidak khianat dan pecah amanah.
4.      Menyampaikan dan berdakwah dengan apa yang diperintahkan oleh Allah,tidak berdiam diri dan tidak menyembunyikan.
5.      Tidak pernah melakukan dosa besar dan dosa kecil yang keji.
6.      Tidak pernah KAFIR kepada Allah, tidak pernah menyembah selain daripada Allah.
7.      Tidak pernah ditimpa penyakit yang keji lagi hina seperti keluar ulat dari badan.
8.      Berwajah dan bertubuh cantik serta bersuara merdu.
9.      Para Rasul dan Nabi bersikap berani dan tidak pengecut.
10.  Para Rasul dan Nabi peramah dan beradab, tidak sombong dan angkuh.
11.  Allah memberikan kepada Rasul dan Nabi mukjizat iaitu perkara luar biasa.
WAJIB MENGETAHUI 25 ORANG RASUL IAITU:
1.      ADAM
2.      IDRIS
3.      NUH
4.      HUD
5.      SOLEH
6.      IBRAHIM
7.      ISMAIL
8.      ISHAQ
9.      YA’KUB
10.  LUD
11.  YUSUF
12.  AYUB
13.  SYUAIB
14.  MUSA
15.  HARUN
16.  ZULKIFLI
17.  DAUD
18.  SULAIMAN
19.  ILYAS
20.  ILYASA’
21.  YUNUS
22.  ZAKARIA
23.  YAHYA
24.  ISA
25.  MUHAMMAD

4.      BERIMAN KEPADA KITAB

Ø  Iaitu beriman dengan kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya
Ø  Bilangan kitab yang masyhur iaitu 4:
1.      Kitab Taurat kepada Nabi Musa alaihissalam.
2.      Kitab Zabur kepada Nabi Daud alaihissalam.
3.      Kitab Injil kepada Nabi Isa alaihissalam.
4.      Kitab al-Quran kepada Nabi Muhammad sallallahu`alahi wasallam.

5.      BERIMAN KEPADA HARI KIAMAT

Ø  Iaitu hari dimusnahkan alam dunia ini dan menemui alam akhirat.
Ø  Malaikat Israfil meniup sangkakala yang pertama, semuanya musnah dan mati.
Ø  Malaikat Israfil meniup sangkakala yang kedua, semuanya akan hidup kembali.
Ø  Semua manusia akan dihimpunkan di padang Masyar untuk dihisabkan amalan-amalan masing-masing.
Ø  Amalan akan ditimbang di atas Mizan oleh Malaikat Jibril dan Mikail.
Ø  Amalan kebaikan yang dibuat oleh orang KAFIR di dunia, tidak akan dinilai langsung di hari akhirat kerana mereka tidak beriman kepada Allah.
Ø  Manusia yang BERIMAN, pahalanya banyak dari dosa, maka ia akan dimasukkan ke dalam Syurga dan kekal buat selama-lamanya.
Ø  Manusia yang BERIMAN tetapi ada dosa, jika Allah tidak mengampunkannya, maka ia akan dimasukkan ke dalam Neraka terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam Syurga.
Ø  Manusia yang KAFIR akan dimasukkan ke dalam API NERAKA dan kekal di dalamnya buat selama-lamanya.
Ø  Neraka ialah tempat seksaan yang dasyat sekali dengan API yang sangat panas dan sejuk yang amat sangat.

6.      BERIMAN DENGAN QADHAK DAN QADAR IAITU KETENTUAN BAIK DAN BURUK

Ø  Iaitu beriman bahawa sesuatu yang terjadi, baik atau buruk adalah takdir Allah dan ciptaan Allah.
Ø  Apa yang terjadi merupakan takdir Allah.
CONTOH:
1.      Apabila kita sakit, iainya merupakan takdir Allah.

  • Kita berusaha berubat, bersabar, berdoa dan berserah pada Allah.
  • Bila kita bersabar, maka Allah akan tambahkan pahala, kita akan dikasihi oleh Allah dan bertambah darjat keimanan kita.

2.      Apabila kita sihat, ianya takdir Allah.  
  •   Jika kita bersyukur dan membuat apa yang Allah suruh, maka kita akan mendapat pahala dan bertambah darjat keimanan kita.
  • Jika kita sihat dan kita melakukan maksiat seperti tidak solat, melawan ibu bapa atau guru, maka kita akan mendapat dosa.

Monday, July 5, 2010

APA MAKNA KALIMAH SYAHADAH???

Posted by Ibnu `Alwi al-Syafi`e



AKU BERSAKSI...PENJELASAN AQIDAH DARI DUA KALIMAH SYAHADAH


Al-Syahadatain (dua kalimah syahadah) adalah merupakan lafaz yang wajib diketahui dan dii`tikadkan oleh setiap muslim. Ia juga merupakan lafaz yang wajib diucapkan oleh orang-orang kafir bagi melambangkan keislaman mereka.

Lafaz Dua Kalimah Syahadah ialah:

أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ

Maksudnya:

“Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu utusan Allah”.


Perhatian: Lafaz ashhadu (أشهد) yakni aku bersaksi mengandungi tiga makna serentak iaitu:

1. (أعلم) yakni aku mengetahui”,
2. (أعتقد) yakni aku mempercayai dan
3. (أعترف) yakni aku mengiktiraf”.

Inilah lafaz yang afdal dan paling sesuai bagi menjelaskan tuntutan iman dan Islam. Ini kerana setiap sesuatu pengakuan hendaklah didahului dengan kepercayaan, dan setiap kepercayaan pula hendaklah didahului dengan pengetahuan atau ilmu. Jika tidak, maka pengakuan dan kepercayaan itu adalah suatu pembohongan. Demikian juga jika seseorang itu tahu tentang kebenaran Islam tetapi tidak mahu mempercayai atau tidak mengakui kebenaran Islam, maka dia telah berdusta sebagaimana orang-orang Yahudi yang telahpun mengetahui kebenaran Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad sallallahu`alaihi wasallam, bahkan mereka mengenali baginda sepertimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri, namun disebabkan sikap degil dan bongkak mereka tidak mahu memperakui akan kebenaran risalah yang dibawa oleh baginda sallallahu`alaihi wasallam.


Makna Kalimah Syahadah Pertama:


أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ


“Aku mengetahui (dengan menuntut ilmu), aku beri`tiqad (mempercayai) dengan hati tanpa dipaksa dan aku mengiktiraf (mengakui) dengan lidah bahawa tiada Tuhan yang di sembah dengan sebenarnya melainkan Allah Yang Maha Tunggal lagi Yang Maha Esa, Yang Awal lagi Yang Sedia Ada, Yang Maha Hidup lagi Yang Maha tidak berhajat kepada yang lain dan Yang Maha Kekal lagi Yang Maha Mencipta, Yang Maha Memberi Rezeki, Yang Maha Mengetahui lagi Yang Maha Berkuasa dan Yang Maha Melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesuatu yang dikehendaki-Nya pasti berlaku dan sesuatu yang tidak dikehendaki oleh-Nya pasti tidak akan berlaku. Dia-lah Tuhan yang tidak ada sebarang daya dan kekuatan melainkan dengan-Nya yang bersifat dengan segala sifat kesempurnaan yang layak dengan-Nya, yang suci dari segala sifat kekurangan pada hak-Nya”.


Ringkasan daripada makna syahadah pertama di atas ialah pensabitan (merujuk kepada) 20 sifat bagi Allah ta`ala iaitu: al-Wujud (ada), al-Qidam (sedia ada), al-Baqa (kekal), al-Mukhalafah lil-hawadith (bersalahan dengan makhluk), al-Qiyam bi-nafsih (tidak berhajat kepada makhluk), al-Wahdaniyyah (esa), al-Qudrah (berkuasa), al-Iradah (berhendak), al-`Ilm (mengetahui), al-Hayah (hidup), al-Sama` (mendengar), al-Basar (melihat) dan al-Kalam (berkata), Kaunuhu Qadiran (keadaan Allah ta`ala yang berkuasa), Kaunuhu Muridan (keadaan Allah ta`ala yang berkehendak),  Kaunuhu `Aliman (keadaan Allah ta`ala yang mengetahui), Kaunuhu Hayyan (keadaan Allah ta`ala yang hidup),  Kaunuhu Sami`an (keadaan Allah ta`ala yang mendengar), Kaunuhu Basiran (keadaan Allah ta`ala yang melihat), Kaunuhu Mutakalliman (keadaan Allah ta`ala yang berkata-kata).


Makna Kalimah Syahadah Kedua:

أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ

“Aku mengetahui, mempercayai dan mengakui bahawa Muhammad ibn `Abdullah ibn `Abd al-Muttalib ibn Hashim ibn `Abdu Manaf al-Qurashi sallallahu`alaihi wasallam itu adalah hamba Allah dan utusan-Nya kepada semua makhluk. Selanjutnya, diikuti dengan iktikad dan keyakinan bahawa baginda telah diputerakan dan dibangkitkan sebagai seorang rasul (pesuruh Allah) di bumi Mekah, berhijrah ke bumi Madinah dan disemadikan di sana, baginda benar dalam semua perkara yang dikhabarkan dan disampaikannya daripada Allah iaitu mencakupi perkara-perkara yang telah berlaku, perkara-perkara yang akan berlaku dan perkara-perkara yang berhubung dengan hukum syariat. Antara perkara yang dikhabarkan itu ialah azab dan nikmat kubur, soalan dua malaikat Munkar dan Nakir, kebangkitan dari alam barzakh, perhimpunan di Mahsyar, kiamat, hisab, pahala, azab, neraca amalan, titian al-Sirat, neraka, kolam al-Hawd, syafaat, syurga, melihat Allah dengan mata kepala pada hari Akhirat tanpa kayfiyyat, tanpa bertempat dan ruang; iaitu tidak seperti makhluk dilihat, keberkekalan hamba-hamba Allah di dalam syurga dan neraka, keimanan dengan para malaikat Allah, para rasul-Nya, kitab-kitab-Nya dan qada` dan qadar Allah iaitu yang baik dan yang buruknya, dan sesungguhnya baginda adalah penyudah segala nabi dan penghulu seluruh keturunan Nabi Adam alaihissalam.

HUKUM MENGUCAP DUA KALIMAH SYAHADAH DAN PERKARA-PERKARA YANG BERKAITAN DENGANNYA:
  • Jika seruan asas Islam iaitu Dua Kalimah Syahadah sampai kepada sesiapa yang mukallaf, maka wajib ke atasnya menganut agama Islam, tetap dalam agama Islam dan beramal dengan syariat Islam.
  • Untuk menganut agama Islam, seseorang yang kafir wajib mengucap Dua Kalimah Syahadah berserta dengan i`tiqad yang benar lagi utuh.
  • Lafaz Dua Kalimah Syahadah tidak disyaratkan dengan lafaz yang dimulakan dengan lafaz ashhadu (أشهد) untuk mengesahkan kemasukan seseorang ke dalam agama Islam. Bahkan, ianya boleh dilafazkan dengan ungkapan lain yang mempunyai makna yang sama dengannya meskipun bukan dalam bahasa Arab.
  • Kefardhuan melafazkan Dua Kalimah Syahadah ke atas seluruh umat Islam kekal dalam setiap solat supaya solat menjadi sah menurut mazhab al-Imam al-Syafi`e.
  • Orang yang dilahirkan di dalam Islam dan beri`tiqad dengan Dua Kalimah Syahadah tidak disyaratkan mengucap dua kalimah syahadah untuk menjadi orang Islam. Bahkan dia sebenarnya sudah menjadi orang Islam kerana didikan dan asuhan yang diterima olehnya adalah berdasarkan kepada aqidah yang sahih.
  • Menurut ulama dalam mazhab Maliki bahawa Dua Kalimah Syahadah wajib diucapkan sekali seumur hidup ke atas setiap mukallaf setelah mencapai usia baligh dengan niat fardhu. Ini adalah kerana mazhab mereka tidak mewajibkan bacaan tahiyyat dalam solat, bahkan mereka hanya menganggapnya sebagai sunat. Sedangkan menurut ulama dalam mazhab-mazhab yang lain seperti ulama mazhab Syafi`e dan mazhab Hanbali, dua kalimah syahadah adalah wajib dilafaz dalam setiap solat bagi memastikan solat menjadi sah.
  • Iman dan Islam seseorang itu tidak sah dan segala amalan kebajikannya tidak diterima tanpa dua kalimah syahadah yakni tanpa iman yang benar.
  • Ucapan syahadah pertama wajib diiringi dengan ucapan syahadah kedua bagi mengesahkan keislaman seseorang yang mahu memeluk agama Islam. Itulah kadar minima untuk selamat dari kekal abadi di dalam api neraka.


Oleh itu setiap manusia wajib meyakini secara jazam (putus) tentang kewujudan Allah ta`ala dan Allah ta`ala mempunyai sifat-sifat yang sempurna. Seseorang itu juga wajib juga beri`tiqad bahawa apa yang di bawa oleh Rasulullah adalah benar belaka tanpa ada syak, zan dan waham.

الْجَزْمُ يُخْرَجُ مِنْهُ:  الْشَكُّ, الْظَنُّ, الْوَهْمُ.

Al-Jazm dikeluarkan daripadanya : Syak (ragu-ragu), Zan (melebihi percaya daripada tidak), Waham (melebihi ketidakpercayaan daripada percaya).

مُوَافِقٌ لِلْحَقِّ يُخْرَجُ مِنْهُ: جَاهِلٌ بَاسِطٌ, جَاهِلٌ مُرَكَّبٌ

Selari dengan kebenaran dikeluarkan daripadanya: Jahil basit (tidak mempunyai pengetahuan sama sekali), jahil murakkab (jahil yang tersusun iaitu tidak sedar bahawa dirinya jahil)

 عَنْ دَلِيْلٍ: أَيْ لَيْسَ تَقْلِيْدًا
Daripada dalil:  tidak boleh bertaqlid.

Maksud taqlid iaitu orang yang mengikut tanpa belajar dan apabila ditanya maka individu tersebut tidak dapat  mengeluarkan dalil dalam perkara yang berkaitan dengan akidah.

Ø  Sekiranya seseorang itu bertaqlid (mengikut) kepada orang yang tidak betul iaitu golongan yang terkeluar dari landasan akidah yang sahih walau dengan jazam sekalipun tetap dihukumkan sebagai tidak beriman.
Ø  Sekiranya seseorang itu berbertaqlid (mengikut) kepada orang yang beraqidah sahih iaitu yang berada di atas landasan akidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah. Hukumnya terbahagi kepada tiga:

1.      Sekiranya dia bertaqlid (mengikut) dengan jazam (putus), maka dia dikira beriman tetapi dihukum fasiq iaitu berdosa walaupun beriman. Ini pendapat yang muktamad.
2.      Tidak dikira beriman walau dia bertaqlid dengan jazam sekalipun. Ini pendapat yang dhaif.
3.      Sekiranya dia bertaqlid tetapi tidak jazam, maka dirinya tidak dikatakan sebagai beriman walaupun yang diikutinya itu adalah orang yang sahih aqidahnya.



Kesimpulannya, syarat untuk mengenal Allah ada empat:
  1. Tahu dengan belajar (talaqqi).
  2. Yakin dengan keyakinan yang jazam (putus).
  3. Berpegang dengan perkara yang sebenar iaitu Aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah.
  4. Besertakan dalil iaitu dari al-Quran, al-Sunnah, Ijma` ulama` dan qias.

BAGAIMANA ILMU AGAMA DIAMBIL/DIPELAJARI???

Posted by Ibnu `Alwi al-Syafi`e


BAGAIMANA ILMU AGAMA ITU DIAMBIL/ DIPELAJARI???

"عِلْمُ الدِّيْنِ لايُؤْ خَذُ بِا لْمُطَالَعَةِ مِنَ الْكُتُبِ لأَنَّهُ قَدْ يَكُوْنُ فِيْ هَذِهِ الْكُتُبِ الَّتِيْ يُطَالِعُهَا الشَّخْصُ دَسٌّ وَافْتِرَاءٌ عَلَى الدِّيْنِ أَوْ قَدْ يُفْهَمُ مِنْهَا أَشْيَاءٌ عَلَى خِلافِ مَا هِيَ عَلَيْهِ عِنْدَ السَّلَفِ وَالْخَلَفِ عَلَى مَا تَنَا قَلُوْهُ جَيْلٌ عَنْ جَيْلٍ مِنَ الأُمَّةِ فَيُؤَدِّيْ إِلَى عِبَادَةٍ فَاسِدَةٍ أَوْ يَقَعُ فِيْ تَشْبِيْهِ اللهِ بِخِلْقِهِ وَالتَّمْثِيْلِ وَالْكُفْرِ وَالضَّلالِ".

Maksudnya:

"Ilmu agama tidak diambil (tidak dipelajari) daripada mempelajari dengan kitab sahaja (tidak berguru) kerana sesungguhnya kadangkala (berkemungkinan besar) kitab yang ditelaah (dipelajari) itu telah ditokok tambah dan dibuat penipuan oleh seseorang atau kadangkala apa yang difahami itu bertentangan dengan apa yang telah difahami oleh ulama` Salaf dan Khalaf " menerusi apa yang dipindahkan (diwariskan) dari satu generasi ke satu generasi di dalam reality sesebuah umat. Maka hal tersebut akan membawa kepada ibadah yang fasidah (rosak) atau mengundang kepada penyerupaan Allah dengan makhluknya, dan turut boleh membawa kepada kekufuran dan kesesatan.


Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"لاتَبْكُوا عَلَى الدِّيْنِ إِذَا وَلِيَهُ أَهْلُهُ وَلَكِنْ ابْكُوا عَلَيْهِ إِذَا وَلِيَهُ غَيْرُ أَهْلِهِ".

Maksudnya:

"Jangan tangisi agama ini apabila masih ditangani oleh ahlinya, namun tangisilah agama ini apabila ditangani oleh orang yang bukan ahlinya".

[Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dan al-Thabarani]


Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"إِذَاوَسِّدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتِظَرِ السَّاعَةَ".

Maksudnya:

"Apabila diserahkan urusan kepada orang yang bukan pakarnya maka perhatikanlah saat kebinasaannya".

[Diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari]


Berkata Al-Hafizh Abu Bakr al-Khatib al-Baghdadi :

قَالَ الْحَافِظُ أَبُوْ بَكْرٍ الْخَطِيْبُ الْبَغْدَادِيُّ أَحَدُ كِبَارِ الْمُحَدِّثِيْنَ :
"لا يُؤْ خَذُ الْعِلْمَ إِلا مِنْ أَفْوَاهِ الْعُلََمَاءِ".

Maksudnya:

"Tidak diambil sesuatu ilmu agama melainkan daripada mulut-mulut para ulama`".

Berkata ulama` Salaf :

قَالَ بَعْضُ السَّلَفِ :
"الَّذِيْ يَأْ خُذُ الْحَدِيْثَ مِنَ الْكُتُبِ يُسَمَّى صَحَفِيًّا وَالَّذِيْ يَأْ خُذُ الْقُرْءَانَ مِنَ الْمُصْحَفِ يُسَمَّىْ مُصْحَفِيًّا وَلا يُسَمَّى قَارِئًا".

Maksudnya:

"Seseorang yang mengambil (mempelajari) hadis daripada kitab-kitab hadis dinamakan ‘Shohafiyyan’ dan orang yang mengambil (mempelajari) al-Quran daripada mushaf dinamakan ‘mushafiyyan’ dan tidak dinamakan Qari (orang yang pandai ilmu makhraj, sifat-sifat huruf dan ilmu tajwid)".


Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"مَنْ يُرِدِاللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ إِنَّمَا الْعِلْمُ بِالتَّعَلُمِ وَالْفِقْهُ بِالتَّفَقُّهِ".

Maksudnya:

"Barangsiapa yang Allah mengkehendaki kebaikan baginya, maka Allah akan memberi kefahaman kepadanya tentang ilmu agama. Demi sesungguhnya ilmu itu hanya diperolehi dengan belajar dan kefahaman itu diperolehi dengan mempelajari dari orang yang faqih (orang yang `alim)".

[Diriwayatkan oleh al-Imam al-Thabarani]

Perkataan “ta`alum” pada hadis ini, mengikut Amir al-Mu`minin dalam bidang hadis iaitu Ibn Hajar al-`Asqalany membawa maksud berguru bukan mengkaji sahaja. Tetapi, sekiranya mengkaji kitab dengan bimbingan guru yang demikian itu tetap dikira berguru.


Diriwayatkan oleh Muslim didalam kitabnya Sahih Muslim dan Bazl al-Majhud, telah berkata Ibn Sirin (sahabat Nabi sallallahu`alaihi wasallam) :

"إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِيْنٌ فَانظُرُوْا عَمَّنْ تَأْ خُذُوْنَ دِيْنَكُمْ".

Maksudnya:

"Sesungguhnya ilmu ini adalah agama maka perhatikanlah daripada siapa kamu mengambil agama kamu".

[Muqaddimah Shahih Muslim bab pada menerangkan sesungguhnya periwayatan itu tidak akan terjadi melainkan daripada orang-orang yang thiqah/ orang yang dipercayai].

Telah berkata Ibn Mubarak (guru al-Imam Malik):

" الإِسْنَادُ مِنَ الدِّيْنِ لَوْ لا الإِسْنَادَ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ".

Maksudnya:

"Isnad itu adalah sebahagian daripada agama, sekiranya tidak ada isnad maka berkatalah seseorang itu apa yang hendak dikatakannya (bergantung kepada hawa nafsunya)".


Syaikh al-Muhaqqiq Abdul Fattah Abu Ghuddah di dalam kitabnya:

"وَعَلَى كُلِّ حَالٍ : الإِسْنَادُ الَّذِيْ هُوَ فَخْرُ الأُمَّةِ الاِسْلامِيَّةِ, لا يَنْبَغِيْ فِيْهِ السَّاهِلُ وَالاِ عْتِمَادُ عَلَى الْوَ هْمِ, بَلْ يَجِبُ التَثَبُّتُ كَمَا كَانَ سَلَفُنَا الصَّالِحُ".

Maksudnya:

"Atas keadaan mana sekalipun, isnad yang mana ia adalah kebanggaan umat islam, tidak sepatutnya diambil mudah pada isnad dan tidak sepatutnya berpegang di atas dasar waham(ragu) malah ia mestilah tetap kukuh seperti mana keadaan golongan yang terdahulu daripada (Salaf al-Salih)".


Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"مَنْ خَرَجَ فِي طَلَبِ الْعِلْمِ فَهُوَ فِي سَبِيْلِ اللهِ حَتَّى يَرْجِعَ".

Maksudnya:

"Barangsiapa yang keluar untuk menuntut ilmu (ilmu fardhu ain), maka dia berada di jalan Allah sehinggalah dia kembali".

[Diriwayatkan oleh al-Imam al-Tirmizi]


Al-Imam Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani al-Syafi`e al-Asy`ari (W. 852 H) dalam kitabnya Fath al-Bari:

قَاعِدَةٌ مُهِمَّةٌ: "مَنْ شَغَلَهُ الْفَرْضُ عَنِ النَّفْلِ فَهُوَ مَعْذُوْرٌ وَمَنْ شَغَلَهُ النَّفْلُ عَنِ الْفَرْضِ فَهُوَ مَغْرُوْرٌ".

Maksudnya:

Kaedah yang penting: "Barangsiapa yang disibukkan dengan hal-hal yang fardhu dari hal-hal yang sunat (sehingga tidak sempat melakukannya) maka dia (dianggap) ma`dzur (diterima alasannya dan dimaklumi), dan barangsiapa yang disibukkan dengan hal-hal yang sunat dari hal-hal fardhu (sehingga dia tidak melaksanakan yang wajib) maka dia adalah orang yang tertipu (syaitan menampakkan amal sunat itu di matanya sebagai amal yang baik sedangkan amal-amal yang fardhu itu lebih utama bagi seseorang itu untuk melaksanakannya)".


Inilah kaedah yang telah ditinggalkan oleh sesetengah orang kerana sibuk mengerjakan perkara sunat dan meninggalkan yang wajib seperti mempelajari ilmu aqidah untuk mengesahkan amal ibadat yang kita buat. Termasuk dalam hal yang difardhukan oleh agama adalah menyebarkan aqidah Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah dan memberi peringatan kepada masyarakat agar tidak mengikut golongan yang telah terkeluar dari landasan aqidah arusperdana Ahl al-Sunnah Wa al-Jama`ah. Oleh itu, apabila mendekati kiamat, maka Allah ta`ala akan mengangkat semua ilmu iaitu dengan mematikan para alim ulama` dan akan lahirkan golongan yang sesat lagi menyesatkan umat Islam sebagaimana yang berlaku pada hari ini.

Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam bersabda:

"إِنَّ اللهَ لايَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ النَّاسِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يَتْرُكْ عَالِمًا اتَّخَذَا لنَّاسُ رَؤُوْسًا جُهَّالا فَسُئِلُوْا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوْا وَأَضَلُّوْا".

Maksudnya:

"Bahawasanya Allah ta`ala tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah ta`ala menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama`, maka apabila sudah ditiadakan alim ulama`, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain".



Berdasarkan hadis tersebut, jelaslah bahawa Allah ta`ala akan mengangkat ilmu dengan mematikan para alim ulama` dan ketika pemimpin yang memimpin rakyat adalah kalangan orang jahil. Pepatah Melayu berkata “patah tumbuh hilang berganti” tetapi peribahasa ini tidak boleh digunakan untuk menceritakan tentang ulama` kerana para alim ulama` susah untuk dicari ganti. Oleh itu, apabila bumi ini sudah ketiadaan para alim ulama`, maka pada ketika itu sudah tidak bererti lagi kehidupan di dunia dan alam ini dipenuhi oleh golongan yang sesat lagi menyesatkan.

Dewasa ini, kita telah melihat gejala-gejala yang menunjukkan hampirnya suatu zaman sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah sallallahu`alaihi wasallam iaitu bilangan alim ulama` hanya tinggal sedikit dan usaha untuk melahirkannya pula tidak mendapat perhatian yang sewajarnya. Pondok-pondok dan sekolah-sekolah agama kurang mendapat perhatian daripada golongan cerdik pandai. Mereka banyak mengutamakan pengajian-pengajian di bidang urusan keduniaan yang dapat meraih keuntungan harta benda dunia. Inilah realiti masyarakat kita hari ini. Oleh itu, perlulah kita memikirkan hal ini dan mencari jalan untuk menyelesaikannya.

VIDEO BAR

Loading...
Akhtaru Sabili
Akhtarusabili

terus ke laman utama tanpa perlu klik